KUALA LUMPUR: Tiga asas utama Muafakat Nasional (MN) terus kekal menurut Timbalan Presiden Pas,  Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ialah keikhlasan, saling memelrukan dan sikap tolak ansur.

“MN  adalah jenama baru dalam arena politik negara. Ia muncul pada saat orang Melayu rasa tertekan dengan pelbagai isu yang muncul akibat dari Pakatan Harapan (PH) mengambil alih teraju pemerintahan negara,” katanya.

‘Isu ICERD telah menjadi pemangkin kepada penyatuan orang Melayu khasnya di Malaysia, dan diikuti oleh Pilihan Raya Kecil yang membibitkan kerjasama antara dua parti utama orang Melayu Islam PAS dan Umno, kini ia semakin kukuh dengan penyertaan Berdatu sebagai sebahagian dari komponen MN,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ramai mendoakan agar MN ini kekal sebagai suatu muafakat politik yang berpanjangan, walaupun hakikatnya bukanlah sesuatu yang mudah bagi parti-parti politik kekal dalam satu gabungan dalam tempoh yang lama.

Katanya lagi, penyatuan orang Melayu Islam menjadi keutamaan agar kedudukannya sebagai kaum dan agama teras negara dapat dipelihara.

Beliau berkata, semua parti mesti dihormati dan dijaga kedudukannya dalam gabungan.

“Apabila  satu parti merasa ia tidak lagi memerlukan rakan politik dalam membuat sesuatu keputusan, maka ia petanda awal berakhirnya muafakat,” katanya.

“Parti punyai pengikut yang pelbagai jenis, namun kepatuhan kepada keputusan pimpinan adalah asas utama. Dalam kerangka kerjasama, semua pihak perlukan toleransi yang sangat tinggi. Perlu buang ego, ketepikan sikap bossy, sombong dan takabur,” katanya.

“MN perlu buktikan melalui tindakan. Keputusan mesti melalui perundangan bersama, ada kalanya kita perlu korbankan kehendak pengikut di bawah, kerana kepentingan yang lebih besar dan lebih penting yang hanya difahami oleh pimpinan. Tidak semua perkara perlu dikongsi dengan semua pengikut dan orang ramai,” jelasnya.

“Jangan terpengaruh dengan mereka yang cakap kuat, kerana itu bukan bermakna ia  betul, cakap perlahan bukan makna lemah. Banyak cakap belum tentu mampu membuat kerja. Terkadang banyak idea belum tentu sesuai untuk dilaksana. Belajarlah memahami sesuatu di sebalik sesuatu yang dilihat kerana hakikatnya Allah-lah yang menyatukan hati-hati manusia,” katanya lagi.