LIMBANG: Daerah Limbang dijangka akan turut dibina sebuah mini kompleks sukan sebagai sebahagian daripada rancangan Kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai atlet di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya mahu setiap daerah di Sarawak mempunyai sebuah mini kompleks sukan kerana kebanyakan atlet yang mewakili negeri dan negara datangnya dari luar bandar.

“Mesti ada kompleks sukan. Kalau dapat setiap daerah di Sarawak sekurang-kurangnya mempunyai mini kompleks sukan. Ia menjadi satu tempat gelanggang pelbagai jenis sukan. Memang itulah harapan kita.

“Pada masa ini pun kalau tidak silap saya sembilan atau sepuluh kompleks sukan sedang dalam pembinaan.

“Inshallah, di kawasan Limbang ia mesti diadakan satu mini kompleks sukan. Bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan dalam skala yang serentak,” katanya semasa ditemui media selepas merasmikan Sesi Sembang Belia Jelajah Belia Sarawak 2020 @Batu Danau di Dewan Kampung Tanjung Riman, Limbang pada Sabtu.

Mengenai penganjuran Sembang Belia Jelajah Belia Sarawak 2020 Datuk Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak berkata, ianya bertujuan meningkatkan penglibatan belia dan persatuan dalam program anjuran agensi kerajaan.

“Kerajaan Sarawak mengambil berat peranan belia dalam pembangunan dan sentiasa berusaha untuk memenuhi aspirasi para belia.

“Selain itu, berusaha mencungkil mengasah dan memberi peluang kepada belia setempat untuk turut serta dengan aktiviti kerajaan dan memupuk semangat juang ke arah belia yang cergas, bertanggungjawab, berkepimpinan, berkerjaya bersukarelawanan dan menerapkan semangat cintakan negara.

“Justeru, program ini adalah antara medium yang sesuai digunakan untuk mengetahui aspirasi atau kehendak para belia melalui sesi sembang belia,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bhgn Limbang Ir.Ahmad Denney bin Hj Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi bin Awang Said, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. 

Setiap Daerah Di Sarawak Akan Dibina Mini Kompleks Sukan Lahirkan Lebih Ramai Atlet Berpotensi LIMBANG: Daerah Limbang…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Saturday, August 22, 2020