Tuesday, June 28, 2022

Implikasi Pindaan Perlembagaan Bersatu

Secara Rawak

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menyatakan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia meminda perlembagaan. Tujuan cadangan pindaan tersebut adalah untuk membolehkan ahli bersekutu, yang terdiri daripada bukan Bumiputera, mempunyai peranan yang lebih meluas.

Peranan luas dalam konteks ini ialah bukan sahaja sebagai kedudukan diterima sebagai ahli bersekutu yang menurut Muhyiddin sejak awal lagi parti tersebut sudah mempunyai peruntukan untuk membenarkan bukan Melayu menyertai parti tersebut sebagai ahli bersekutu, walaupun matlamat utama Bersatu ditubuhkan untuk membantu orang Melayu.
Justeru, berdasarkan cadangan khususnya oleh kumpulan Azmin Ali dan Zuraida ini ia membolehkan bukan Bumiputera nanti bukan sahaja boleh menjawat jawatan lebih tinggi seperti jawatan Naib Presiden akan tetapi turut bersama-sama memberi idea untuk memajukan parti.

Bagi membolehkan cadangan dan aspirasi tersebut direalisasikan, maka satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Dr Rais Yatim telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara itu, dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dalam mesyuarat pimpinan tertinggi, Muhyiddin sendiri telah membawa usul bagi membolehkan ahli bersekutu dapat bersama -sama menyumbang bukan setakat sebagai ahli biasa, tapi berperanan untuk memberi idea dan pandangan dan terlibat dalam kepimpinan. Cadangan ini membuka lembaran baharu dalam Bersatu dan satu landskap politik negara.

Bersatu telah mengubah arah politik daripada parti berteraskan Melayu menjadi parti yang bersifat berbilang kaum. Bermakna sebelum ini Parti Bersatu mempunyai matlamat utama seperti parti UMNO dan PAS dan mempunyai pasaran politik yang mengkhusus kepada orang Melayu dan bumiputera sahaja. Namun kini telah berubah arah dan hala tuju kepada parti berbilang kaum yang membuka penyertaan kepada kaum Cina dan India. Pasaran politik Bersatu kini sama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang membuka penyertaan kepada semua rakyat Malaysia.

Muhyiddin Yassin juga teruja dengan pengumuman bahawa jumlah keahlian penyokong Azmin melalui badan bukan kerajaan seperti Penggerak Komuniti Negara, Nation Of Women, Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara berjumlah 200,000. Seterusnya, dilihat mampu menjadi penampung kepada keahlian Bersatu yang telah dipecat dan keluar daripada Bersatu kerana menyertai parti Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir.

Selain itu, Muhyiddin berjanji bahawa cadangan daripada jawatankuasa mengenai penyertaan ahli bersekutu untuk memegang jawatan tinggi dalam Bersatu itu akan diperhalusi, dan dibawa ke Mesyuarat Agung Tergempar Bersatu untuk diluluskan pindaan berkaitan perlembagaan parti melalui Mesyuarat Agung Tergempar Bersatu untuk mendapat kelulusan pindaan berkaitan perlembagaan parti. Hal ini ditegaskan oleh Perdana Menteri ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan Kongres Negara 2020 yang merupakan program anjuran bukan kerajaan (NG0) Penggerak Komuniti Negara yang bertemakan Bersatu Untuk Malaysia, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Implikasi Politik Nasional 

Ternyata usul penerimaan bukan bumiputera untuk memegang jawatan dalam parti Bersatu sebagaimana diumumkan oleh Muhyiddin Yassin akan memberikan implikasi politik yang besar dalam landskap politik nasional. Orang Melayu konservatif dalam Bersatu dan di luar parti akan melihat Bersatu terkeluar daripada matlamat atau objektif perjuangan yang asal.

Ia dilihat hanya untuk memenuhi kehendak kumpulan Azmin Ali menyertai Bersatu.Hal ini menunjukkan pengaruh Azmin dalam Bersatu begitu ampuh dan besar dan dilihat akan terus menjadi orang kepercayaan kanan Muhyiddin. Kesan daripada persepsi ini maka, sudah tentu ini akan menyebabkan ketidakselesaan kalangan akar umbi Bersatu yang awal penubuhan sebelum PRU ke -14 yang seolah-olah terpinggir dalam arus kepimpinan dan ini seolah-olah kumpulan Azmin akan menguasai parti Bersatu.

Berdasarkan situasi politik ini, maka dapat dilihat bahawa Azmin berpotensi menjadi timbalan presiden malah presiden parti Bersatu lebih-lebih lagi dengan dakwaan Azmin mempunyai 200 ribu keahlian.

Sudah pasti pihak Bersatu lama yang kurang bersetuju kemasukan Azmin akan keluar parti dan menyertai parti berteraskan melayu seperti kembali semula ke UMNO atau menyertai parti Pejuang. Desas-desus ini semakin kuat sejak pengumuman tersebut dibuat. Sekiranya, Muhyiddin gagal menyakinkan pengikut lamanya dalam Bersatu, maka aliran keluar akan berlaku secara besar-besaran. Yang tinggal dan penimbal ialah keahlian yang di bawah sokongan Azmin Ali dan ini memudahkan lagi Azmin menguasai Bersatu dengan lebih kuat.

Langkah pinda perlembagaan dilihat untuk memenuhi kumpulan Azmin dan Zuraida seolah-olah Azmin anak emas Muhyiddin yang bakal memdatangkan cemburu dalaman parti. Namun kita perlu sedar walaupun Bersatu mungkin berjaya pinda perlembagaan parti bukan kepada Melayu dan bumiputera namun penyertaan luas daripada kaum Cina dan India akan terbatas kerana akar umbi etnik Cina dan India kini cenderung dan lebih selesa menyertai parti pelbagai kaum seperti PKR dan DAP.

Pembukaan penyertaan dalam Bersatu yang membawa kepada pindaan lebih dilihat untuk meletak penyokong Azmin bukan Melayu kerana mereka sudah tidak ada pilihan dan sukar diterima oleh parti berbilang kaum yang lain. Ini membolehkan kelompok ini
bukan sekadar menjadi ahli bersekutu akan tetapi layak memegang jawatan penting dalam parti Bersatu. Di sini ruang untuk mereka membuka tapak baharu dalam politik.

Implikasi Sabah dan Sarawak

Dalam konteks Sabah, sudah pasti ini memberikan kesan kepada Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah dan bermakna bukan bumiputera boleh ramai dicalonkan jadi wakil rakyat dan bersaing sama rata dengan Warisan yang merupakan parti berbilang agama dan kaum. Akan tetapi akar umbi Bersatu pasti kurang selesa untuk peringkat awal ini. Hal ini kerana tujuan mereka menyertai Bersatu ialah alternatif kepada parti umno yang membuka keahlian kepada Melayu dan bumiputera sahaja. Sudah pasti ada yang akan keluar akibat daripada keputusan ini sama ada kembali kepada Umno mahupun menyertai Warisan dan PKR yang dilihat jauh lebih kukuh dan stabil dari segi sejarah dan kematangan usia parti.

Di Sarawak pembukaan kepada penyertaan kepada bukan bumiputera bukanlah isu besar kerana Sarawak sudah lama mempunyai parti seumpama itu seperti parti SUPP, PDP dan kini parti PSB. Namun begitu, sudah tentu ia akan memberikan dilema besar kepada Ali Biju, Wilie Mongin dan Jugah Muyang yang dilihat lebih kepada Bersatu.

Sekiranya mereka bertiga bertanding atas tiket Bersatu di Sarawak dalam pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi, maka peluang untuk mereka menang agak tipis kerana Bersatu belum bertapak kukuh di Sarawak dan kurang dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan Sarawak. Bermakna mereka hanya bergantung kepada politik personaliti yang ada dan buat masa ini hanya Ali Biju sahaja ada kekuatan tersebut kerana sudah lama menjadi wakil rakyat.

Situasi ini meletakkan sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket Bersatu di Sarawak dalam situasi yang goyah, kurang stabil, terancam dan berpotensi untuk tewas. Maka, mereka perlu memilih untuk menyertai mana-mana parti dalam GPS atau PH yang sudah ada nama, logo dan sejarah di Sarawak!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru