Sunday, December 5, 2021

Lompat parti ke sana ke sini

Secara Rawak

MUKAH: Rakyat Kampung Senau harus mengingati perkara yang berlaku selama dua setengah tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan projek pembinaan benteng hakisan di Oya yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelumnya.

Ketua Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, projek itu sebenarnya telah diluluskan, namun dibatalkan semasa PH memerintah negara.

“Kita bersyukur apabila PH tumbang dan Perikatan Nasional (PN) yang menubuhkan kerajaan cuba untuk mendapatkan kembali projek yang dibatalkan.

“Salah satu projek yang diluluskan semula ialah pembinaan benteng hakisan pantai di Oya tetapi dalam skala yang lebih kecil,” katanya berucap pada Program Ziarah Bersama Wanita, Pemuda, Bapa dan Beliawanis PBB di Balai Raya Kampung Senau, Oya baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, sekiranya PH masih memerintah, keadaan negara tidak akan terasa selamat seperti sekarang kerana masih dihantui penularan wabak Covid-19.

Ujarnya, kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang membuktikan negara lebih baik berbanding kerajaan PH apabila berjaya mengawal wabak berkenaan selain memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa GPS akan sentiasa menepati janji bukan hanya pada pilihan raya tetapi ia dasar yang harus ditepati.

“Untuk pembangkang baharu, berkemungkinan bukan PH yang akan bertanding tetapi PKR. Parti itu dilihat kucarkacir apabila pemimpinnya melompat parti ke sana ke sini.

“Tiada masalah dengan cabaran pembangkang kerana pemimpin yang ada dalam parti kita sendiri berpengalaman serta komited untuk menyejahterakan rakyat,” tegasnya.

Jelasnya, perkara itu terbukti apabila Kerajaan GPS berjaya mendapatkan kembali cukai jualan hasil minyak dan gas Sarawak daripada Petronas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru