KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  hari ini berkata, kes positif baharu Covid ke-688  merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 55 tahun yang balik dari Amsterdam, Belanda. 

Satu kes positif baharu COVID-19 import dilaporkan di Daerah Miri.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan berkata, kes bekerja sebagai scaffolder offshore di Amsterdam. 

“Sejarah perjalanan menunjukkan kes telah menaiki pesawat pada 14 Ogos 2020 dari Amsterdam dan transit di Doha, Qatar sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Malaysia pada 15 Ogos 2020,”  katanya dalam satu kenyataan. 

Jelasnya lagi, kes telah bermalam semalam di Kuala Lumpur sebelum menaiki pesawat balik ke Miri, Sarawak pada 16 Ogos 2020 melalui Lapangan Terbang Miri.

Menurut JPBNS  semasa  tiba di Lapangan Terbang Miri, kes terus dibawa ke pusat kuarantin hotel di Miri untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari. 

Kes katanya, tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Sebelum pulang ke Malaysia, kes telah memaklumkan bahawa beliau telah menjalani kuarantin dan saringan swab rT-PCR di Amsterdam. 

Jelasnya, hasil ujian swab rT-PCR di Amsterdam, Belanda juga dikatakan negatif COVID-19.

“Setibanya di Kuala Lumpur, kes telah disaring menggunakan RTK Antigen pada 15 Ogos 2020 dan keputusan ujian RTK Antigen tersebut juga adalah negatif,” ujarnya.

Bagaimanapun semasa  menjalani kuarantin di pusat kuarantin hotel di Miri, JPBNS berkata, kes diambil calitan  untuk ujian rT-PCR saringan pertama pada 18 Ogos 2020 dan keputusan ujian makmal pada 21 Ogos 2020 mendapati kes adalah positif Covid-19.

“Kes telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Miri pada hari yang sama untuk rawatan lanjut. Pengesanan kontak kepada kes ini dan siasatan lanjut masih dijalankan, dan kes ini dikategorikan sebagai kes import dari luar negara,” katanya lagi.