TANJUNG MALIM: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menjelaskan pendirian parti itu yang berada dalam jawatankuasa penaja bersama Bersatu untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi di Slim River di sini, pada 9 malam esok sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

“Sebagaimana yang diketahui, kini PAS telah bersama-sama dengan Bersatu untuk mendaftarkan partinya sebagai gabungan rasmi dalam PN dan ini akan diperjelaskan esok.

“Tentunya ada mesej tertentu di mana Muafakat Nasional akan terus diperkasa dan diperkukuhkan, bukan hanya UMNO dan PAS tetapi kita menggunakan pendekatan yang mana parti-parti komponen BN tetap bersama,” katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Kasih di Felda Gunung Besout 2 dekat sini, hari ini seperti dipetik Bernama.

Rabu lepas, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu berada dalam jawatankuasa penaja bersama Bersatu untuk mendaftarkan PN.

Sebelum ini, UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai PN tetapi menyokong kerajaan PN berlandaskan sokongan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO dan BN dalam pembentukan kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri.