JAKARTA: Persatuan Perubatan Indonesia (IDI) mendedahkan sekurang-kurangnya 86 doktor di negara itu setakat ini maut akibat pandemik Covid-19 sejak penularan awal wabak tersebut.

Mengutip kompas.com, kesemua mangsa meninggal dunia selepas disahkan positif Covid-19 atau ketika menerima rawatan.
Jurucakap IDI Halik Malik berkata, kesemua doktor yang maut itu kebanyakannya masih muda, berumur dalam lingkungan 28 dan 39 tahun.

“Mangsa biasanya mempunyai komorbiditi (dua atau lebih penyakit yang dihidapi secara serentak pada masa yang sama), tetapi sebahagian daripadanya sama sekali tidak mempunyai komorbiditi,” kata Malik.

Khamis lalu, Indonesia mencatatkan sebanyak 147,211 kes Covid-19 yang meningkat 2,266 kes daripada hari sebelumnya.

Jumlah kematian kini mencecah 6,418 orang.

Menurut Malik, semakin banyak kes dan kematian yang menunjukkan bahawa wabak di negara ini masih belum dapat dikendalikan.

“Kerajaan harus fokus pada pemulihan kesihatan masyarakat.

“Ia harus mengoptimumkan langkah pengujian, penjejakan, pengasingan dan rawatan di semua wilayah,” tambah Malik.