BINTULU: Polis menahan seorang remaja lelaki kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam rondaan di hadapan Kedai Fixall Home Appliance Repair, Jalan Sommerville, di sini, 11 pagi, Khamis.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili , berkata remaja berumur 16 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu diketuai D/SM Ding Usat Emang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui tujuh keratan tiub straw kemerahan lut sinar, berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine(syabu) berat kasar 5.2 gram dengan nilai pasaran kira- kira RM900.

Hasil ujian saringan awal pihak polis, katanya, turut mendapati saspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan rekod polis turut mendapati saspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, remaja terbabit disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan, saspek boleh dikenakan penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga dan tidak melebihi sembilan kali sebatan.

Sementara, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta dadah Berbahaya 1952 pula, saspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.