LEBIH 200,000 kes baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia sekali gus menjadikan menjadikan kes kumulatif global mencecah 22.55 juta kes.

Jumlah kematian kini hampir mencecah 790,000 di seluruh dunia sejak virus maut itu dikesan di Wuhan, China pada Disember lalu.

Data terbaharu menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dari segi kes jangkitan dan kematian.

Negara Uncle Sam itu merekodkan  5.69 juta kes jangkitan dengan 176,288 kematian.

Berada di tangga kedua ialah  Brazil dengan 3.46 juta kes dengan lebih 111,000 kematian manakala India di tangga ketiga dengan 2.83  juta kes jangkitan dan lebih 53,000 kematian.

Di tangga keempat ialah Rusia dengan lebih 937,000 kes jangkitan dengan lebih 15,000 kematian.

Afrika Selatan, Peru dan Mexico melepasi angka setengah juta kes dengan masing-masing merekodkan 596,060 kes, 549,321 kes dan 531,239 kes.

Dari segi kematian, negara terbabit masing-masing merekodkan lebih 12,000, 26,000 dan 57,000 kes.