TANJUNG MALIM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan adalah munasabah bagi Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai jentera parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata semua pihak dalam BN meskipun mempunyai pandangan berlainan perlu bersama-sama memenangkan parti itu pada PRN 26 Sept depan.

“Benar perbezaan pendapat itu harus diraikan, tetapi kita harus menghormati keputusan yang telah ditentukan di mana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dan Pengerusi BN Sabah merupakan lantikan yang dibuat oleh saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Maka, tentulah lebih munasabah mana-mana pengerusi badan perhubungan negeri dan juga pengerusi BN negeri mengetuai jentera yang ada dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), apatah lagi PRN,” katanya kepada pemberita ketika hadir program ramah mesra di Besout 3 semalam.

Beliau mengulas mengenai beberapa pemimpin UMNO Sabah yang tidak bersetuju dengan pelantikan Bung Moktar dalam mengetuai jentera BN menghadapi PRN Sabah kerana mempunyai kes di mahkamah.

Ahmad Zahid berkata semua pihak dalam BN perlu mencari jalan terbaik supaya berada dalam satu wadah perjuangan yang sama, serta tidak memberi kekuatan kepada musuh politik parti itu.

“Mereka tentu mahu melihat perpecahan berlaku dalam kalangan kita,” tambahnya.