PADAWAN: Seorang lelaki warga emas ditangkap bagi membantu siasatan atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dua bulan pada Isnin lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa bersama neneknya pergi membeli gula-gula di sebuah kedai berhampiran Kampung Assum milik tertuduh yang berusia 62 tahun.

Ketika pulang dari kedai terbabit, mangsa memaklumkan kepada neneknya bahawa pemilik premis yang dipanggil ‘Datuk’ telah bertindak menjilat dan memasukkan jarinya ke dalam seluar mangsa.

Nenek mangsa, mengesahkan beliau ada menerima makluman awal namun tidak bertindak berikutan tidak mahu memperbesarkan perkara yang tidak pasti.

Insiden tersebut akhirnya disedari oleh ibu mangsa selepas anaknya mengadu sakit di bahagian kemaluan ketika beliau menyarungkan pakaian ke atas mangsa pada Sabtu malam.

Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalani rawatan namun keputusan hasil pemeriksaan Doktor Pakar Obsteric dan Ginekologi mengesahkan tiada sebarang kesan pada kemaluan mangsa, dipercayai disebabkan kejadian telah lama berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, tertuduh telah pun ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Padawan di Kampung Assum sekitar jam 3.20 petang.

Katanya, hasil siasatan awal tertuduh bagaimanapun tidak mengaku atas kesalahan yang dilaporkan bersabit dirinya.

Ujarnya, suspek telah dipohon reman pada 18 Ogos 2020.