SARATOK: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman, Mahruf Engga melahirkan rasa bangga dan gembira sebaik menerima kemasukan akhbar Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune (NST) ke sekolah itu bermula semalam.

Beliau yang dihubungi hari ini berkata, bagi pihak seluruh warga sekolah ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penerbitan Suara Sarawak (SV) dan New Sarawak Tribune (NST) serta penaja kepada pelaksanaan Program Akhbar Masuk Sekolah ( AMS) kerana memilih sekolah tersebut sebagai salah sebuah sekolah terpilih untuk program berkenaan.

Menurut Mahruf kemasukan SV dan NST sangat bermakna dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan murid dan warga sekolah itu.

“Dengan adanya bahan cetak yang berillustari menarik serta padat berinformasi, minat membaca murid bertambah dan mereka juga tertarik untuk terus mengetahui isi kandungan akhbar tersebut.

“Kehadiran dua akhbar kembar berkenaan mampu menjana maklumat dan ilmu kepada murid dan guru di samping menjadikan akhbar sebagai rujukan maklumat sahih.

“Tak pernah terduga oleh saya sekolah kami antara yang dapat tajaan akhbar ini. Kami akan manfaatkan akhbar tersebut dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Tambah Mahruf pihak sekolah akan akan menjadikan akhbar sebagai antara bahan rujukan dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa sama ada Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris di sekolah itu.

SK. Abang Abdul Rahman Saratok adalah merupakan sebuah sekolah rendah yang mempunyai jumlah murid yang kedua terbesar selepas SK.Abang Leman Kabong dalam kawasan pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Saratok yang kesemuanya mempunyai 53 sekolah rendah ketika ini.

Di samping itu, SK. Abang Abdul Rahman juga merupakan antara sekolah yang sering melahirkan pelajar cemerlang UPSR. Sekolah itu juga kerap mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang koakademik dan kokurikulum sama ada di peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan.

Sememangnya tepat sekolah ini menjadi pilihan kepada persinggahan akhbar SV dan NST dalam Program AMS berdasarkan reputasi hebat sekolah tersebut yang kerap digapai sekolah berkenaan dalam mengharumkan nama daerah dan negeri serta melonjakkan nama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.