PAKAN: Masyarakat dan polis perlu berganding bahu dan saling memerlukan dalam usaha bersama membenteras gejala jenayah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, matlamat tersebut perlu diusahakan dengan pelaksanaan konsep ‘Komuniti Berorentasikan Kepolisan’.

“Kita berpendapat objektif itu dapat dicapai melalui pelaksanaan VARI.

“VARI membawa maksud V (Visibility) menempatkan anggota-anggota polis di tempat yang kerap berlaku jenayah, A (Accessibility) memudahkan masyarakat mendapat perkhhidmatan polis tanpa banyak birokrasi, R (Response) mempercepatkan tindakan polis dalam menangani sesuatu isu dan I (Intelligence) memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian Program Pelancaran Bengkel Komuniti Kepolisian Daerah Pakan di Dewan Masyarakat Pakan pada Isnin.

Tambahnya, dengan menggunakan kepakaran, teknologi, peralatan dan sebagainya yang dimiliki oleh agensi, persatuan dan NGO, pihak polis dapat menggerakkannya ke arah merealisasikan pencegahan jenayah dengan lebih berkesan.

“Salah satu mekanisme yang boleh digunakan oleh Polis Diraja Malaysia ialah menggunakan khidmat Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dalam operasi-operasi cegah jenayah.

“RELA ditubuhkan semasa konfrontasi di antara Malaysia dan Indonesia di mana pada masa itu anggota RELA ditugaskan untuk memantau sebarang bentuk pencerobohan oleh angkatan bersenjata Indonesia.

“RELA masih lagi bergiat aktif pada hari ini terutama di kawasan luar bandar,” jelas Mawan sambil menambah RELA juga seringkali terlibat dalam pelbagai operasi.

Katanya lagi, menerusi konsep ini masyarakat turut bersama memainkan peranan dalam memastikan strategi dan terlibat secara langsung.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Julau DSP Ismuni Omar dan Pegawai Daerah Pakan Seroji Ludin serta yang lain.