BESUT: Seorang peniaga dihukum penjara 36 tahun dan 30 sebatan kerana merogol anak kandungnya yang berusia 10 tahun, pada tiga tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Besut Wan Azimah Yaakob selepas tertuduh yang berusia 51 tahun itu disabitkan atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun pada pertengahan Januari 2017, kira-kira jam 1 pagi di sebuah rumah di Chalok, Setiu.

Menurut Astro Awani, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengulangi kesalahan sama pada akhir Januari dan April 2018 sekitar jam 11 malam dan 10 malam di lokasi yang sama.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua serta mengarahkan hukuman berjalan secara berasingan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan 10 sebatan, bagaimanapun hukuman berjalan serentak dengan pertuduhan pertama dan kedua.