Saturday, June 25, 2022

Lubang ‘misteri’ di Batu 3 Kabong bagai perangkap tunggu mangsa

Secara Rawak

KABONG: Kewujudan satu ‘lubang misteri’ di kawasan tepi jalan raya utama Batu 3 Kabong-Nyabor, di sini ibarat perangkap tersembunyi yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya pada bila- bila masa sahaja.

Menurut penduduk yang tinggal berdekatan kawasan berkenaan, lubang tersebut telah lama wujud namun kewujudannya terselindung di sebalik rumput di kawasan itu.

Namun sekarang lubang berkenaan makin ‘ternganga’ menunggu mangsa ekoran adanya aktiviti mengangkut tanah yang giat dilakukan oleh trak-trak besar dan juga kenderaaan berat lain yang kerap melalui kawasan itu ketika ini.

Seorang penduduk yang prihatin semalam mengadu mengenai kewujudan lubang itu dan bahaya yang bakal menunggu di kawasan itu jika pengguna jalan raya tersilap langkah.

Kata pengadu yang enggan namanya dikenali, jika dibiarkan sahaja lubang itu tanpa ada tindakan membaiki segera dilakukan pastinya lubang itu akan mengundang malapetaka.

Setelah menerima makluman itu penulis telah melihat sendiri lubang yang maksudkan.

Setelah diamati ternyata lubang itu sememangnya sangat-sangat bahaya kerana ia terbentuk betul-betul ditepi jalan raya berturap dan sudah mula merebak ke atas jalan raya berturap. Sedikit kesilapan pemandu akan menyebabkan tayar kenderaan terjebak dalam lubang tersebut dan boleh mengakibatkan kemalangan.

Sehubungan dengan itu pengguna diingatkan supaya berwaspada di kawasan jalan raya Batu 3 Kabong-Nyabor tempat wujudnya ‘lubang misteri’ itu.

Keadaan menjadi lebih berbahaya ketika kenderaan berselisih atau jika ada kenderaan memotong.

Dan pada waktu malam lubang itu tidak akan kelihatan kerana tempat tersebut gelap.

Lantaran itu pihak berwajib digesa melakukan pemeriksaan segera di kawasan yang dimaksudkan dan mengambil langkah sewajarnya membaiki jalan raya tersebut sebelum lubang itu ‘menelan’ mangsa pertamanya.

Berdasarkan tinjauan di lokasi lubang berkenaan terbentuk kerana saluran pembentung air di kawasan itu terlalu pendek dan telah berlaku hakisan tanah di kawasan berkenaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru