SARATOK: Satu lagi tangkapan berkaitan kegiatan judi nombor ekor haram dilakukan oleh pihak polis di sini petang semalam.

Pihak polis melakukan tangkapan jam 3.25 petang di kaki lima sebuah kedai di kawasan pasar di sini.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin memberitahu pihak polis telah terlihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di sebuah meja di kaki lima sebuah kedai.

Ketika dihampiri dan hasil dari pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jualan loteri awam tanpa lesen. Saspek mengaku bahawa kesemua barang tersebut adalah miliknya.

Mordani berkata suspek kemudiannya di bawa balik ke Balai Polis Saratok untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 4(1)(c) ARJT 1953 kerana menjalankan kegiatan judi haram.

“Pihak polis merampas satu unit telefon bimbit jenama Nokia beserta satu simkad Tunetalk, tiga keping kertas tercatat angka bertulis 4D haram, satu batang pen dakwat biru jenama Boil dan wang tunai campur-campur berjumlah RM 59.00,” ujarnya.

Suspek kini ditahan dalam lokap dan akan dipohon tahanan reman pada esok untuk siasatan lanjut.