Tuesday, June 28, 2022

Landskap Politik Anak Muda Terhambat?

Secara Rawak

Suara anak muda semakin jelas kedengaran apabila berlakunya perubahan dalam landskap politik di beberapa buah negara di serata dunia.

Di negara Finland di Eropah, Sanna Marin yang berumur 34 tahun berjaya menjadi Perdana Menteri termuda dalam sejarah negara Finland.

Sanna Marin

Beliau  ialah bekas Menteri Pengangkutan dan Komunikasi, daripada parti Parti Demokratik Social. Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri apabila Antti Rinne meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Marin juga merupakan perdana menteri ketiga wanita dalam sejarah Finland. Lulusan sarjana muda dan sarjana dalam bidang Sains Pentadbiran dari Universiti Tampere, Finland ini pernah bekerja sebagai juruwang di kedai roti bagi menampung perbelanjaan ketika di zaman universiti.

Sebelum Perdana Menteri termuda dunia ialah Jacina Arden yang berumur 35 tahun berjaya menjadi perdana menteri negara New Zealand.

Lulusan Bachelor Pengajian Komunikasi Universiti Waikato ini mengkhusus dalam bidang politik dan perhubungan awam pada tahun 2001.

Beliau menjadi Perdana Menteri ke-40 sejak tahun 2017.  Sejak beliau membantu makciknya berkempen tahun 1999 dan kemudian dilantik menjadi ahli pasukan penasihat polisi bersama  Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Jacinda Ardern

Dalam konteks politik,  parti tidak mempunyai kuasa majoriti dan ini menjadikan parlimen menjadi tergantung dan apabila ini berlaku  tiga parti yang mempunyai kerusi yang hampir sama banyak bersetuju untuk membentuk kerajaan dan disinilah Ardern berjaya dipilih sebagai Perdana Menteri.

Kanada juga mencatatkan sejarah apabila Justin Pierre James Trudeau lulusan sarjana muda bidang kesusasteraan dari  University McGill dan  bidang pendidikan dari  Universiti British Columbia  menjadi Perdana Menteri  Canada ketiga  ketika berumus 44 tahun.   Beliau mewakili Parti Liberal. Dalam sejarah negara Kanada Perdana Menteri termuda dipegang oleh Joe Clark apabila menjadi Perdana Menteri  ketika berumur 39 tahun.

Di negara lain, negara El Salvador  melantik Nayib Armando Bukele Orte yang berusia 37 tahun sebagai Presiden, manakala di negara  di negara Ukrain,  Oleksiy Honcharuk menjadi Perdana Menteri pada usia 35 tahun.  Fenomena ini juga meluas di negara-negara lain di dunia.

Rekod Tertua di Malaysia

Bagaimanapun di Malaysia, telah tercatat di dunia  pernah mempunyai Perdana Menteri tertua di dunia apabila menjadi Perdana Malaysia yang ke-2 pada usia 93 tahun.

Beliau juga memegang rekod menjadi Perdana Menteri selama 2 kali dalam sejarah Malaysia. Selain itu, beliau juga dikenang dalam sejarah Perdana Menteri yang meletak jawatan tanpa mendengar nasihat Yang Dipertuan Agong.

Kemudian, apabila gagal mendapat jumlah pencalonan menjadi Perdana Menteri ke-3, beliau terus membuat gerakan  untuk menjadi Perdana Menteri pada usia 95 tahun.

Perdana Menteri tertua pernah tercatat dalam sejarah dunia ialah apabila Morarji Ranchhodji Desai menjadi Perdana Menteri India pada usia 81 tahun pada tahun 1977.

Dalam sejarah dunia klasik, Perdana Menteri Britain tertua ialah William Gladstone (1809-98) berumur 84 tahun 64 hari apabila berundur sebagai sebagai perdana menteri pada 3 Mach 1894.

Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun pada tahun 1981-2002 kemudian bersara selama 15 tahun sebelum kembali semula dalam arena politik.

Beliau keluar dari parti UMNO membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan kini beliau membuka parti baru dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mana hilang Suara Anak Muda?

Bagi membuat penilaian sama ada relevan atau sebaliknya suara anak muda atau penglibatan anak muda dalam politik seterusnya memastikan anak muda tidak ketinggalan dalam penyertaan dalam politik maka isu penglibatan anak muda perlu diberikan perhatian besar oleh masyarakat dan negara.

Misalnya, mengapakah anak muda dalam sebahagian besar parti politik kurang mendapat perhatian, tempat dan kedudukan? Yang akhirnya negara cenderung ke kancah dan mencatat sejarah menghasilkan perdana menteri tertua dunia?

Di mana hilangnya suara anak muda dalam konteks politik negara. Mengapa golongan tua lebih banyak mendominasi politik sehingga seolah-olah cuba menongkat langit kuasa?

Bagaimana proses ini berlaku secara berleluasa tanpa memperdulikan konsep patah tumbuh hilang berganti.

Kayu Pengukur

Situasi yang agak parah ini perlu  dinilai dalam beberapa kayu ukur.

Yang pertama, sejauh mana sesebuah parti itu menyediakan laluan anak muda di bawah 25-35 tahun menjadi calon ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan parlimen.

Parti manakah lebih ramai penyertaan anak muda dalam pilihan raya? Hal ini penting untuk menilai komitmen sesebuah parti dan kepimpinan teraju parti itu sendiri.

Yang kedua, parti manakah yang memperjuangkan isu anak muda  seperti peluang pekerjaan dan melaksanakannya tanpa jargon dan retorik di mulut. Dasar penekanan keperluan anak muda diberikan peluang untuk berkembang dan memastikan sistem sokongan bersepadu mampu dijadikan anak muda mendapat ruang secukupnya untuk bergerak dan ke hadapan perlu mempunyai dasar yang lebih menyeluruh dan cakna anak muda.

Yang ketiga, apakah peremajaan parti berlaku dan dijadikan agenda utama sesebuah parti tersebut?

Peremajaan parti perlu dilakukan dengan mengambil kira proses penyediaan kepimpinan masa depan tidak tandus dan tidak mengulang sejarah menghasilkan perdana menteri dua kali dalam sejarah dunia dan mereka berumur 90 ke atas menjadi perdana menteri.

Ini sebenarnya mengambarkan kegagalan proses penyediaan kepimpinan masa depan tidak dilakukan secara padu dan ada juga menganggap menganggap hal ini seolah-olah dilakukan bagi terus mengekal kuasa yang ada.

Yang keempat, sejauh mana parti politik itu disokong oleh sejumlah besar anak muda secara semulajadi, mampu menjadi medan suara anak muda dan tak ada label parti orang tua dikenakan kepada parti tersebut. Sebuah parti yang dinamik perlu bergerak ke hadapan, membina wawasan yang menyeluruh yang mencakupi keperluan anak muda, generasi pertengahan dan golongan tua.

Di sinilah anak muda banyak memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negeri dan negara.

Malah pelantikan jawatan strategik seperti jawatan Speaker di peringkat negeri, diberikan peranan penting dalam pembentukan kabinet penting sebagaimana ruang dan peluang ini pernah dialami oleh pemimpin ulung terdahulu seperti Abdul Taib Mahmud, Adenan Satem, Abang Johari, Alfred Jabu dan seumpamanya.

Yang kelima, sesebuah parti politik sewajarnya   mempunyai bintang politik yang terdiri daripada ramai anak muda yang dilihat mempunyai wawasan, integriti tinggi, berbudaya dan berpendidikan  mampu dilihat sebagai intelektual awam yang mampu memberikan pencerahan dan memandu arah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Peranan ini dalam konteks politik kontemporari perlu diukur sejauh mana anak muda dalam parti-parti yang ada aktif dalam menyuarakan suara, pendirian, sikap, kritikan mereka dalam kemudahan seperti facebook live dan media sosial lain yang menyerlahkan kebijaksanaan, pandangan luas, unsur keilmuan dan sifat merakyat mereka.  Seterusnya, mampu menarik akar umbi masyarakat dan menjadikan parti yang diwakili itu sebagai idola setempat malah keterujaan ini merentasi sempadan negeri menuju ke peringkat nasional.

Situasi Politik Semasa

Terdapat  perubahan yang berlaku meskipun dilihat masih mendatar dan perlahan. anak muda kini dilihat semakin berminat dengan politik  lebih-lebih melihat perubahan politik negara yang berjaya meruntuhkan mitos yang sebelum ini seolah-olah Barisan Nasional sukar ditewaskan.

Namun minat ini bercampur baur apabila Pakatan Harapan runtuh akibat sikap pemimpin politik lama dan digantikan dengan Perikatan Nasional.

Hal ini seterusnya mengakibatkan tercetusnya sikap politik anak muda namun lebih banyak tidak disalurkan dalam konteks kepartian. Hal ini berlaku akibat trauma yang berlaku terhadap PH yang mendapat dukungan anak muda namun dikecewakan oleh pemimpin berusia lanjut.

Ternyata kecenderungan anak muda ini lebih banyak memendam rasa, meskipun mereka tahu banyak perkara atau isu kurang memihak kepada mereka, selalu dipersalahkan seperti sering dilabel malas bekerja, lemah berfikir tanpa melihat perspektif sebenar dalam masyarakat. Tun Mahathir selalu menggunakan label Melayu malas berusia yang terserlah terperangkat dengan minda tertawan warisan daripada pemikiran kolonial yang sebenarnya tidak semua Melayu atau bumiputera bersikap sedemikian.

Apabila pasaran kerja yang semakin sempit inisiatif pemerintah dilihat kurang ampuh memperjuangkan isu mereka.

Isu pembuangan kerja, penggangguran, kos hidup anak muda khususnya kurang mendapat tempat dan kedudukan. Ironinya parti politik meminta sokongan mereka untuk kembali berkuasa.

Isu ekonomi anak muda atau isu asas anak muda  seperti peluang pekerjaan, kos hidup, kos pendidikan yang mahal, hutang pengajian tinggi perlu ditangani secara menyeluruh.

Apabila anak muda berasa parti politik, pemimpin politik dan kerajaan mengambil berat akan masalah dan isu yang dialami anak muda, secara tak langsung anak muda memberikan respon balas sama secara positif atau sebaliknya bergantung kepada  layanan politik atau kerajaan.

Kepimpinan masa kini perlu melihat kepentingan anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Selagi sikap masih mahu bertongkatkan langit akan menyebabkan anak muda berasa kurang selesa dengan parti politik dan pemimpin politik.

Jangan lupa, bahawa statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan seramai 18.8 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 dianggarkan pada tahun 2023.

Hakikatnya juga, data menunjukkan seramai 15 juta pemilih telah mendaftar sehingga suku pertama tahun 2019. Maka, jangan main-main dengan undi anak muda!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru