BAU: Program Penyerahan Baucer Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak penting dalam membantu keluarga yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, program berkenaan merupakan komitmen besar kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak dalam menjulang pendidikan anak-anak tempatan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa depan.

Jelasnya, di kawasan luar bandar tidak semua ibu bapa mampu untuk menyediakan kemudahan yang sempurna kepada anak-anak mereka.

“Bidang pendidikan bukan satu bidang yang boleh kita bandingkan dengan bidang-bidang lain atau industri-industri lain.

“Ini kerana, bidang pendidikan adalah tunjang kepada sesebuah negara, mundurnya sesebuah negara itu dilihat dimana kedudukan pendidikannya, negara maju yang begitu hebat dalam pembangunan industri semuanya bermula dalam bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian Program Penyerahan Baucer Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak 2020 Daerah Bau Bagi Kawasan DUN Serembu di SK Simpang Kuda, Bau, Jumaat.

Seramai 95 orang pelajar dari sebuah sekolah menengah dan 14 sekolah rendah dalam DUN Serembu mendapat baucer bantuan pakaian sekolah Yayasan Sarawak (BPSSYS) 2020.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Bau agar mengadakan ‘Community Outreach Programme’ untuk guru-guru besar dan ketua-ketua kaum.

“Community Outreach Programme ini akan mengeratkan hubungan guru besar, guru-guru dan ketua kaum supaya apa-apa masalah berkaitan anak-anak sekolah dalam kampung boleh dibincangkan bersama,” jelasnya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam serta wakil dari Yayasan Sarawak dan Residen Bahagian Kuching.