KOTA SAMARAHAN: Sebanyak tujuh premis yang terlibat dalam penjualan tambah nilai perjudian dalam talian secara haram dipotong bekalan elektrik, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata, tindakan terbabit dilakukan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Samarahan bersama kakitangan Syarikat SESCO terhadap tujuh buah premis yang berlokasi di Kota Samarahan dan Asajaya.

Menurutnya, kesemua premis itu merupakan tempat serbuan dan tangkapan individu terlibat dalam jenayah judi dalam talian secara haram di bawah peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dedahnya, sebanyak 141 kali serbuan terhadap premis di kawasan Daerah Kota Samarahan bermula Januari 2020 sehingga 13 Ogos, tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 99 operasi serbuan telah berjaya menangkap seramai 121 orang suspek dan merampas wang tunai sebanyak RM 19,694.00.

“Turut dirampas, alat-alat eletronik yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi loteri awam haram dan perjudian dalam talian,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Katanya, kesemua tangkapan tersebut dibawah peruntukan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta kesalahan-kesalahan yang lain.

Sementara itu, jelasnya, sebanyak 49 kes berkaitan kegiatan terbabit masih lagi dalam siasatan lanjut.

Sudirman selain itu turut menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan dengan sebarang aktiviti jenayah di Daerah Kota Samarahan.