LUNDU: Kerajaan Sarawak memperuntukan RM6 juta untuk melaksanakan projek bekalan air di Telok Melano, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

“Kita mempunyai pelan utama berdasarkan saluran air negeri dari Empangan Bengoh untuk dibawa ke sini akan tetapi projek tersebut memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan.

“Walaubagaimanapun, kita mempunyai projek jangka pendek di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta pihak berkuasa tempatan untuk membina sumber air sementara yang memakan perbelanjaan sekitar RM6 juta sementara menunggu jaringan utama diperluas ke Lundu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Telok Melano dan Anjung Usahawan, pada Khamis.

Berhubung lawatan ke pos sempadan sementara Telok Melano, Abang Johari memberitahu, sebanyak setengah juta telah digunakan untuk menyiapkan projek tersebut.

“Penggunaan kontena yang ada sekarang adalah projek sementara di bawah kerajaan negeri akan tetapi projek utama adalah di bawah Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) dan Kementerian Dalam Negeri akan datang ke sini di mana kami akan menempatkan projek Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada kawasan seluas 7 hektar dengan anggaran kos yang dicadangkan bernilai lebih RM20 juta.

“Ini adalah untuk projek utama, yang sementara sekarang ini pula hanya memakan belanja sebanyak setengah juta,” jelasnya.