SRI AMAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu kerajaan negeri menyalurkan segala informasi dan menerangkan dasar-dasar yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan kepada penduduk di kampung dan rumah panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, KMKK dapat membantu kerajaan negeri memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Jelasnya, KMKK juga boleh melapor kepada pihak berkenaan jika ada aduan daripada penduduk setempat.

“Program pembangunan kapasiti dan pelancaran ‘key performance indicator ‘ kepada KMKK penting sebagai input untuk mengukur tahap kecemerlangan dan prestasi KMKK Daerah Sri Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Pembangunan Kapasiti Dan Pelancaran Key Performance Indicator (KPI) Kepada Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum Serta Majlis Penyerahan Bantuan Baucer Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak Tahun 2020 di Dewan Suarah Sri Aman, Jumaat.

Sementara itu, beliau memberitahu, tugas-tugas dan tanggungjawab KMKK adalah mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan di dalam Skim Perkhidmatan Ketua Masyarakat.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit dan Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd. Ashree Wee.