LIMBANG: Kerajaan Sarawak sangat prihatin dengan kebajikan dan keperluan masyarakatnya apabila melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya ialah Kenyalang Gold Card (KGC).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu anak Gumbang berkata, bantuan ini memudahkan warga emas yang berumur lebih 60 tahun mendapatkan diskaun dalam beberapa barangan keperluan dan perkhidmatan yang ditawarkan dengan harga lebih murah.

“Selain mendapat diskaun, warga emas yang mendapat Kenyalang Gold Card ini layak mendapat Bantuan Ihsan Kematian (BIK) seperti pengurusan jenazah sebanyak RM3,000 bagi menampung kos pengebumian dan hanya akan diberikan kepada waris apabila pemegang kad yang layak telah meninggal dunia,” katanya semasa berucap dalam Pengagihan Kenyalang Gold Card (KGC) Secara ‘Mobile’ di Daerah Limbang pada Khamis.

Dalam pengagihan KGC itu, sebanyak lima buah kampung telah dilawati antaranya Kampung Ranggu, Limbang, Kampung Pengkalan Madang, Rh Luta, Kampung Engkasing, Rh. Lana, Kampung Sepangah dan Rh. Assan Ngang, Kampung Semena.

Tambah Paulus lagi, Kerajaan Sarawak juga menyalurkan bantuan lain seperti bantuan kepada ibu yang bersalin sebanyak RM450 secara ‘one off’ dan bayi yang dilahirkan turut mendapat bantuan wang berbentuk simpanan sebanyak RM1,000.

Pada majlis itu, ADUN Batu Danau itu telah meluluskan penyerahan geran sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Luta dan RM20 ribu kepada JKKK Kampung Semena serta RM5,000 kepada Gerempung Indu Kampung Semena.

Sementera itu, salah seorang penerima KGC yang ditemui Kibin anak Balik, 70 tahun mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan yang diberikan kepada warga emas.

“Mengucap syukur dan terima kasih kepada YB dan Kerajaan Sarawak yang telah membantu kami warga emas ini,” katanya.

Begitu juga Kasi anak Tikus, 64 tahun ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas kemudahan dan bantuan KGC ini yang banyak memberi manfaat kepada warga emas.

“Bersyukur kepada ADUN Batu Danau dan Kerajaan Sarawak yang telah memberikan kemudahan ini kepada saya,” katanya.

Hadir sama Pegawai Kebajikan Masyarakat Limbang Wan Muhd Hasif Bin Wan Jamari, Pegawai Kebajikan Masyarakat Limbang dan Pegawai Khas ADUN Jimmy Ngindang Ak Bau.