TATAU: Ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak-anak ke sekolah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana pihak sekolah telah memastikan setiap garis panduan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah sentiasa dipatuhi.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie anak Tayai berkata kerajaan dan pihak sekolah mengambil berat berkenaan SOP pembukaan sekolah bagi membanteras penularan wabak COVID-19.

“Saya risau apabila ada ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak ke sekolah sedangkan kerajaan dan pihak sekolah telah pastikan garis panduan SOP pembukaan sekolah sentiasa dipatuhi.

“Ini kerana pendidikan amat penting untuk mencorakkan masa depan mereka.

“Justeru, kerjasama guru-guru, ibu bapa, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memastikan anak-anak turun ke sekolah,” katanya dalam Program Penataran Pembukaan Sekolah Sekolah Pasca COVID 19 di Dewan Sukan Tatau pada Jumaat.

Pada majlis itu telah diadakan tiga ceramah yang bertujuan memberikan informasi dan kesedaran mengenai langkah-langkah yang diperlukan dalam menggalakkan pelajar datang ke sekolah antaranya ceramah mengenai COVID 19 yang disampaikan Pegawai Pedidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia Anasthasia anak Peter Dien, ceramah pematuhan SOP oleh Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti IPD Tatau Cif Inspektor Anbanandh A/L Santhiran dan ceramah tiga mengenai Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) oleh Timbalan Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Tatau dan Sebauh Syahrul bin Salamun.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Tatau dan Sebauh Samri bin Suhaili dalam taklimatnya memaklumkan jumlah kehadiran pelajar-pelajar ke sekolah sebelum dan selepas COVID-19 agak rendah.

“Jumlah pelajar di Bahagian Tatau dan Sebauh ini 6,438 orang dan jumlah guru seramai 650.

“Kehadiran pelajar pada Julai ke sekolah di Daerah Tatau dan Sebauh ialah 78.78 peratus dan meningkat sedikit pada bulan Ogos iaitu 84.71 peratus.

“Bagaimanapun, jumlah peratusan ini agak rendah berbanding sebelum COVID-19 yang mencecah 96 peratus,” katanya.

Pada majlis itu, Datuk John yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus telah menyerahkan sumbangan pembelian peralatan COVID-19 sebanyak RM22,500 untuk sekolah di Daerah Tatau dengan setiap sekolah menerima RM1,500 dan bantuan pakaian seragam Yayasan Sarawak berjumlah RM90,000 kepada 450 pelajar.

Turut hadir Pegawai Daerah Tatau Barayan bin Lenya, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Tatau Tony anak Madup, Pemanca Gerosen anak Jubin, Pengetua, Guru-Guru Besar, Penghulu dan Tuai Rumah.