PADAWAN: Dua lelaki warga tempatan disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian secara aktif di dua kawasan berasingan di Batu Kawa diberkas, Khamis.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil operasi serbuan dijalani sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Derah Padawan.

Menurutnya, suspek masing-masing berusia 21 dan 24 tahun.

“Ketika ditahan kedua-duanya mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian.

“Hasil serbuan turut menemui serta merampas barangan berupa dua unit telefon jenama Oppo berserta Wang tunai RM 271,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Katanya, kedua-dua suspek akan dituduh dibawah seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Tegasnya, pihaknya (IPD Padawan) kini dalam tindakan operasi aktif dalam memastikan judi haram dibanteras secara menyeluruh khususnya di kawasan Padawan.

Susulan itu, beliau menyeru kepada semua masyarakat umum agar dapat berganding bahu dalam membenteras kegiatan judi haram dengan cara menyalurkan maklumat kepada pihak penguat kuasa.

Beliau turut memberi jaminan bahawa butir-butir pemberi maklumat akan dirahsiakan bagi kawasan dibawah pentadbiran IPD Padawan.

Ujarnya, sebarang maklumat berkaitan maklumat boleh disalurkan terus ke Bilik gerakan 24 jam IPD Padawan di talian 082-862233.