KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang telah menyerahkan bantuan pelitup muka dan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) (Tambahan) 2020 kepada sekolah-sekolah di kawasan berkenaan di Marqas Operasi DUN Muara Tuang, semalam.

Bantuan tersebut diserahkan kepada sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan dan Serian di bawah DUN Muara Tuang.

Sementara itu, Dato Idris Buang memberitahu, bantuan pelitup muka berkenaan diserahkan untuk kegunaan kakitangan sekolah yang akan memulakan tugas kembali minggu depan iaitu pada 17 Ogos 2020.

Beliau juga berharap melalui pemberian sumbangan pelitup muka itu, pihak sekolah akan lebih bersedia untuk menerima semula para pelajar serta memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, Dato Idris Buang juga telah menyampaikan cek MRP (Tambahan) 2020 kepada lima buah sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu PIBG SRK Tanjung Tuang, PIBG SK Gemang, PIBG Plaman Baki/Menaul, PIBG SK Tanah Merah dan PIBG SK Lubok Antu Reban dengan jumlah keseluruhan RM225,000.