SEMATAN: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membincangkan isu sempadan Kalimantan Barat, Indonesia bagi menempatkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Telok Melano.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, KDN akan membincangkan perkara tersebut dalam Forum Sosial-Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO).

Jelasnya, kerajaan Sarawak dan Kalimantan di bawah Jawatankuasa SOSEK MALINDO mempunyai perjanjian tertentu dan sebahagian daripadanya adalah mengenai isu sempadan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Lawatan Kerja dan Majlis Pecah Tanah Masjid dan Anjung Usahawan Telok Melano di Sematan, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Menteri juga berkata, Kerajaan Negeri membina Pos Kawalan Sempadan di Telok Melano dengan kos RM500,000 sementara menunggu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos lebih RM20 juta.