KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu sebahagian daripada hasil kutipan levi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau telah berunding dengan kerajaan Persekutuan agar Sarawak dapat berkongsi hasil levi yang dikutip kementerian di Bumi Kenyalang.

“Hasil (wang) itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan komunikasi dan digital negeri selain menggunakan bajet kami sendiri,” kata Abang Johari ketika berucap merasmikan Ujian pad Sarawak Centexs-SDEC 5G pertama dan makmal latihan maya (AVR) Huawei di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak kini sedang menuju ke arah menjadi sebagai hab digital di rantau ini dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Malah, negeri ini mungkin memerlukan tempoh kurang daripada 10 tahun untuk mencapai status hab digital dan bandar raya pintar kerana kita telahpun membangunkan beberapa infrastruktur dan sumber yang diperlukan untuk merealisasikan impian tersebut,” katanya.

Abang Johari berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan negeri akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk pengembangan bakat setelah perbelanjaan besar digunakan untuk membina jalan raya serta mengembangkan sumber tenaga, di negeri itu.

Justeru, katanya langkah seterusnya ialah untuk meningkatkan rangkaian perhubungan siber termasuk rangkaian 5G, ke kawasan bandar.

Katanya, melalui kerjasama Centexs Academy, Huawei Technology dan Eon Reality ia diharap akan dapat melatih lebih ramai anak muda Sarawak tentang kemahiran teknikal, digital dan warisan untuk memenuhi permintaan dan inisiatif negeri ini untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2030.

Mengenai inisiatif digital Sarawak, beliau berkata pad ujian digital 5G yang pertama dilancarkan di Malaysia itu adalah teknologi untuk memangkin kelajuan antara satu peranti ke peranti yang lain bagi membolehkan perhubungan pantas dalam masa nyata.

Meskipun, terdapat pihak yang mendakwa beliau terlalu bercita-cita tinggi namun Abang Johari berkata Sarawak tidak boleh ketinggalan dalam semua aktiviti ekonomi yang kini amat memerlukan aplikasi digital data raya yang akan memacu semua sektor ekonomi.

“Sarawak bernasib baik kerana memiliki banyak sumber yang dapat dikembangkan untuk memberikan pulangan ekonomi, tetapi kita perlu mengembangkan bakat manusia yang betul untuk beralih ke arah memacu ekonomi digital,” tambahnya.– BERNAMA