LIMBANG: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM160 juta menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bagi membangunkan semula sekolah-sekolah daif di Bahagian Limbang ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Pusat telah diberikan peruntukkan menerusi NRDA bagi menaik taraf RBT, bilik darjah dan blok pentadbiran.

“Pihak sekolah meminta agar kawasan lapang itu akan dapat disimen, jadi kita akan berusaha untuk ianya dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

“Mereka juga memohon untuk dipasang penghawa dingin bagi blok yang digunakan oleh tenaga pengajar di sekolah ini dalam ruang yang kecil ianya menampung 60 orang guru dan kita pun melihat keadaan bangunan tersebut agak lama juga.

“Kita bercadang untuk membangunkan tempat itu dengan bangunan dua tingkat dan ini akan memberikan banyak ruang untuk pihak sekolah menempatkan guru-guru,” katanya selepas mengadakan lawatan ke SK Melayu Pusat, Limbang pada Rabu.

Datuk Amar Awang Tengah yang merupakan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang akan menghubungkan Rh Jampong, Rh Lawai dan Rh Agan dengan peruntukan sebanyak RM9.3 juta.

“Projek ini akan memberikan manfaat kepada 121 household. Projek ini masih dalam peringkat untuk ditender dan dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh 8 bulan,” ujarnya.

Sebenarnya projek ini adalah projek yang tergendala dari Kerajaan Persekutuan semasa di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu dan Kerajaan Sarawak memutuskan mengambilalih projek ini dengan menggunakan peruntukkan negeri sepenuhnya.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menjelaskan beliau telah dilantik oleh Ketua Menteri dan Kerajaan Sarawak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak (Task Force Committee) untuk bekalan air dan bekalan elektrik di luar bandar.

“Dahulu, kita telah menerima banyak peruntukkan dari Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) dan ketika itu saya memegang jawatan sebagai Menteri Kemudahan Awam.

“Sementara, dalam pemerintahan Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan PH ada juga peruntukan-peruntukan ini tetapi tidak banyak. Sedangkan masih banyak kawasan di Sarawak khususnya di luar bandar memerlukan kemudahan bekalan elektrik dan air.

“Disebabkan itu, Ketua Menteri memutuskan supaya Kerajaan Sarawak melaksanakan projek ini lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai masalah bekalan elektrik dan bekalan air luar bandar,” jelasnya.

Sementara itu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM2.8 bilion untuk melaksanakan projek bekalan air di kawasan luar bandar.

“Kita akan laksanakan projek bekalan air khususnya di kawasan luar bandar dengan menggunakan sistem retikulasi.

“Bagi tempat-tempat yang tidak sesuai untuk sistem retikulasi, kita akan laksanakan sistem alternatif seperti SAWAS dan menggunakan bermacam-macam kaedah bergantung kepada kesesuaian sesuatu tempat itu,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengurus NRDA Datu Hj Ubaidillah bin Hj Abdul Latif, Timbalan Residen Bahagian Limbang Hj Sebi bin Hj Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi bin Awang Said dan Guru Besar SK Melayu Pusat Limbang Hj Said bin Hj Matzin.