TAWAU: Penjenayah Filipina iaitu Sub-Komander Abu Sayyaf, Idang Susukan yang bertanggungjawab memenggal kepala rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen pada November 2015, ditahan polis Filipina semalam.

Idang atau nama sebenarnya Abduljihad Susukan ditahan pada 8.30 malam, di rumah pemimpin Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), Nur Misuari di Davao City.

Idang antara 21 warga Filipina disenaraikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sebagai penjenayah dikehendaki di Malaysia berhubung kes-kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) di pantai timur Sabah.

Penculikan Bernard Then dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei 2015 sehingga mangsa dipenggal kepala antara kejadian yang didalangi Idang.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan pemimpin Abu Sayyaf itu.

Hazani berkata, ketika ini pihaknya sedang berusaha mendapatkan maklumat penuh penglibatan suspek dalam kejadian KFR di pantai timur Sabah, sekali gus melengkapkan kertas siasatan.

Ditanya jika suspek akan diekstradisi ke Sabah bagi tujuan siasatan, beliau berkata, ketika ini suspek memiliki 34 waran tangkap di Filipina ekoran terlibat dengan 23 kes bunuh dan lima kes culik.

“Susah mahu bawa balik, tapi kita akan cuba,” katanya lapor Bernama.

Difahamkan, Idang menjadi dalang untuk penculikan Gao Huayun (China) dan Marcy Darawan (Filipina) di Singamata Reef Resort, Semporna pada April 2014; Yang Zai Lin (China) di Lahad Datu pada Mei 2014; Chan Sai Chun (Malaysia) di Kampung Sapang, Kunak pada Jun 2014.