KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Sabah, Noraini Idris berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah peluang terbaik bagi rakyat di negeri itu memilih kerajaan yang lebih efisien berbanding sekarang yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kerajaan Warisan/PH ternyata gagal mentadbir dengan baik dan seharusnya peluang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) yang terbukti mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang memacu ekonomi negeri itu selama ini.

“Inilah peluang terbaik kepada rakyat Sabah untuk memilih kerajaan yang baru yang lebih efisien dan mempunyai ‘track record’ untuk memerintah negeri Sabah.

“Sebab rakyat Sabah sudah memberi peluang kepada kerajaan Warisan untuk menerajui kepimpinan negeri Sabah tetapi apa yang lakukan mereka gagal mentadbir dengan baik malah banyak isu-isu yang berlaku. (Contohnya) kalau kita lihat kerajaan Warisan ini mesra PTI (pendatang tanpa izin) ini adalah isu yang sentiasa bermain di hati rakyat sehingga kini,” katanya  seperti dipetik portal Umno.

Justeru, Noraini berpesan kepada rakyat Sabah agar jangan lagi tertipu dengan kerajaan Warisan/PH itu.

“Undilah dengan bijak kerana undi kita menentukan masa depan anak-anak generasi akan datang. Dan jangan lagi tertipu, telah diberi peluang (mengundi) dan gunakanlah itu dengan sebaik-baiknya.

“Ambillah iktibar apa yang telah berlaku selama dua tahun lebih kerajaan Warisan menerajui kepimpinan negeri Sabah. Kita melihat bahawa persoalan-persoalan banyak yang berlaku, adakah mereka ini mentadbir lebih baik dari kerajaan Barisan Nasional? Saya rasa tidak,” tegas Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang itu lagi.

Begitu juga katanya tindakan kerajaan Warisan/PH di dalam pengagihan jawatan menerajui sesebuah agensi negeri dan penganugerahan kontrak yang mempunyai isu berkaitan ketelusan, kronisme dan nepostime.