KUALA LUMPUR: Dalam menangani amalan tipuan bida di dalam sistem perolehan kerajaan, pelaksanaan proses tender perlulah dipantau dengan lebih menyeluruh dari pelbagai sudut.

Berikut merupakan intipati ucapan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat dalam Sesi Soalan Kamar Khas di Bangunan Parlimen Malaysia semalam.

Menurutnya, walaupun proses perolehan bagi kontrak-kontrak bekalan dan perkhidmatan dilaksanakan secara tender terbuka, namun amalan tipuan bida oleh kartel tertentu masih berlaku dalam sistem perolehan kerajaan, dan kesannya membebankan pengguna, pengusaha syarikat serta peniaga.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia sememangnya menjadi salah satu fokus utama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC).

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit, tipuan bida merupakan suatu perlanggaran di bawah Seksyen 4(2)(D) Akta Persaingan 2010 yang mana boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10% daripada “Pusing Ganti Seluruh Dunia” (Worldwide Turnover).

Sehubungan itu, program advokasi yang objektifnya mempertingkatkan kesedaran mengenai akta persaingan dan isu-isu persaingan telah dijalankan, disamping mempergiatkan kesedaran orang awam melalui pelbagai media massa.

Perlu ditekankan juga katanya, aspek kerjasama padu oleh kesemua kementerian dan agensi kerajaan semasa peringkat inkuiri (siasatan awal) atau penyiasatan oleh pihak MYCC, bagi mengelak pembaziran dana.