KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk membina sebuah Kompleks Makmal Kesihatan di Batu 11, Jalan Kuching-Serian, Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan kerja-kerja awalan bagi projek tersebut telah diluluskan di bawah permohonan Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-11 (RP4 RMK-11).

“Skop cadangan projek ini merangkumi Makmal Kesihatan Awam dan makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan.

“Makmal Kesihatan Awam ini meliputi Makmal Penyakit Berjangkit yang boleh digunakan untuk pengesanan dan pengesahan COVID-19,” katanya semasa Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dibangkitkan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat samada KKM bercadang untuk menubuhkan makmal khas bertujuan untuk diagnosis penyakit virus berjangkit seperti COVID-19 di Sarawak.

Robert Lawson

Menjelas lanjut, Datuk Aaron Ago berkata Makmal Molekular khas untuk pengesanan dan pengesahan COVID-19 telah pun beroperasi di lima hospital di Sarawak.

Hospital berkenaan ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu, Hospital Miri dan Pusat Jantung Sarawak.

“Tambahan daripada itu, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Borneo Medical Centre juga turut menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19.

“Kesemua ini menjadikan jumlah kapasiti ujian COVID-19 bagi Negeri Sarawak adalah sebanyak 2,226 ujian sehari. Sehingga 6 Ogos 2020, sebanyak 91,156 ujian COVID-19 telah dijalankan di Sarawak,” tambahnya.