KUCHING: Seorang gadis bawah umur yang tertidur ketika menunggu buah durian jatuh di sebuah pondok durian milik keluarganya hampir dinodai seorang rakan sekampung tahun lalu.

Mahkamah Khas Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak semalam mengarahkan lelaki ber-usia 24 tahun itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta satu sebatan setelah mengaku bersalah cuba mencabul mangsa bawah umur.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, dan menghadapi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan bagi satu kesalahan ber-kenaan.

Tertuduh disyaki mendera secara fizikal untuk tujuan seksual daripada mangsa yang berusia 14 tahun dua bulan dengan meraba buah dada serta bahagian sulit mangsa.

Tertuduh disyaki melakukan kesalahan itu sekitar jam 3.30 pagi di sebuah pondok di dusun durian pada 20 Oktober tahun lalu.

Menurut fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 11 April lalu bahawa ketika sedang menunggu durian jatuh di kebun milik keluarganya dia telah tertidur.

Ketika tidur, dia berasakan seseorang sedang meraba buah dada serta memegang bahagian sulitnya dari arah belakang.

Dia kemudiannya menolak tangan suspek dan melarikan diri menuju ke rumah keluarganya yang tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketika melarikan diri itu dia sempat menoleh ke belakang dan mengecam lelaki yang cuba mencabulnya.

Pengadu mengenali lelaki tersebut dan tertuduh telah ditahan polis pada 15 April lalu.