SEMATAN: Kerajaan Sarawak akan menyediakan prasarana asas untuk pelancongan termasuk komponen hospitaliti di Telok Melano, Sematan dan Lundu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu sebahagian daripada pelan induk bagi kawan tersebut, kerana potensinya menjadi tarikan industri pelancongan.

“Dengan adanya infrastruktur ini, sektor swasta dapat masuk untuk melabur dan memasarkan destinasi ini kepada dunia yang mempunyai tarikan dari segi keindahan pantai dan taman negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja dan majlis pecah tanah masjid serta anjung usahawan Telok Melano di sini, Khamis.

“Itu adalah dari sudut kemajuan pelancongan yang akan kita bangunkan di kawasan ini,” katanya lagi.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sarawak juga akan menyediakan bekalan elektrik dan air.

Justeru, beliau  telah meluluskan RM6 juta untuk melaksanakan pembekalan air sementara di kawasan Telok Melano, sementara menunggu bekalan air dari grid utama yang disalurkan menerusi Empangan Bengoh.

“Kami melaksanakan projek jangka pendek di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar untuk membangunkan sumber air sementara yang menelan kos RM6 juta menunggu bekalan air dari grid utama masuk ke daerah Lundu,” katanya.