KUCHING: Lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan organ manusia secara haram  di sini tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 1.45 tengah hari Khamis.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar suspek, 48, tiba di IPD Kuching selepas menyedari dirinya dijejaki polis sejak beberapa hari lepas susulan satu artikel dalam portal berita The Sun yang berpangkalan di United Kingdom mengenai kes itu.

“Lelaki berkenaan dikatakan menjual buah pinggang menerusi media sosial Facebook,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, suspek menyerah diri, dan akan direman pagi ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Portal  The Sun  melaporkan, lelaki itu mendedahkan dia telah mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram. 

“Mereka semua serius. Tidak ada yang mahu menjual buah pinggang mereka jika tidak ada masalah kewangan,” beliau dipetik  dalam portal berita tersebut.

Selain itu, suspek turut dilaporkan mengenali lebih 100 orang yang berpotensi menjual buah pinggang.

Dalam artikel tersebut, suspek dilapor menawarkan penjualan buah pinggang dengan pakej pelancongan pemindahan organ berjumlah £85,000 (RM466,440) secara haram.

Lelaki itu menjalankan pemerdagangan organ dengan menyasarkan mereka yang dihimpit kemiskinan dari seluruh dunia.