LUNDU: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Lundu akan berfungsi sebagai pusat praktikal untuk kursus Augmented Reality (AR), dedah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

“Kami akan bekerjasama dengan EON Reality, sebuah syarikat terkenal antarabangsa untuk merealisasikan kursus ini di mana makmal AR akan ditempatkan di kampus CENTEXS Santubong sementara kursus praktikal akan dijalankan di Lundu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Telok Melano dan Anjung Usahawan, pada Khamis.

Katanya lagi, kampus CENTEXS Lundu juga akan dilengkapi dengan kemudahan kediaman bagi membolehkan pelajar tinggal di kampus dan mempunyai masa yang lebih banyak mempelajari pelbagai disiplin di bawah IT termasuk AR.

Tambah beliau lagi, kursus keselamatan siber antara kerjasama dengan Huawei juga akan disediakan di kampus Lundu.