KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung I Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata sambutan ulang tahun pertama MN pada bulan hadapan bakal menyaksikan penyertaan anggota baharu.

Ciapnya di Twitter, ia juga menunjukkan jalinan strategik yang semakin melebar.

“Sambutan ulang tahun pertamanya Sept ini bakal menyaksikan MN diperkasakan dengan penyertaan anggota baru serta jalinan strategik yang lebih melebar, Insya-Allah,” katanya.

MN akan menyambut ulang tahun pertamanya pada 14 Sept ini.

Seterusnya ulas Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), hasil kerjasama UMNO dan PAS ternyata telah membuahkan hasil demi kesejahteraan rakyat.

“Usaha UMNO dan PAS mempelopori politik wasatiyah melalui pendekatan ta’awun dan ta’ayush telah membawa keberhasilan buat ummah,” katanya.

 Pada 14 Sept tahun lepas, tercatat sejarah yang cukup besar buat rakyat dan negara apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan MN yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.