MIRI: Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew telah mengumumkan tiga permohonan warganegara yang telah pun mendapatkan kelulusan kewarganegaraan pada Rabu.

Antara beberapa kes yang sedang diuruskan oleh pusat khidmat beliau adalah anak angkat yang bukan warganegara, pasangan yang berkahwin dengan bukan warganegara dan anak lahir di luar negara yang di bawa balik ke Sarawak.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 44 kes permohonan warganegara yang dibantu di bawah Pusat Khidmat SUPP Piasau telah pun lulus, manakala 137 kes pula masih dalam proses permohonan atau kelulusan.

Dalam pada itu, seorang ibu Grace Dorothy anak Sagoh, 36 tahun, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana permohonan warganegara bagi anak angkatnya yang diambil sejak usia satu minggu di Hospital Miri kini telah pun diluluskan dan mendapat bantuan daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus.

“Kerajaan akan membantu, jangan putus asa. Cari jalan yang betul. Ikut arahan yang betul lah. Seksyen yang betul dan patut kita pergi,” katanya.

Seorang lagi, Boniface Avon, 42, yang berkahwin dengan warganegara Indonesia menyatakan beliau telah menunggu lama lebih dua tahun untuk permohonan taraf warganegara anaknya, Belly Boniface, 10, untuk diluluskan.

“Kini sudah tidak terbeban dengan perbelanjaan persekolahan anak, malah nak bawa anak keluar pun tidak susah sebelum ini kerana tiada dokumen, sekarang sudah ada dokumen dan kami amat berterima kasih dan gembira atas keprihatinan Pusat Khidmat Piasau dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya.