KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Diah Wahari berkata acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.

“Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.

“Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya selepas menjadi tetamu program @Radio di Bernama Radio bertajuk Bulan Kebangsaan 2020 ‘Malaysia Prihatin’ semalam.

Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, Mohammad Diah berkata RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).

Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.