KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak dalam misi membentuk ekonomi pertanian Revolusi 4.0, menggalakkan pertanian moden sebagai satu perniagaan.

Menurut Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, beliau menginginkan agar kawasannya, Kota Samarahan menjadi pengeluar cili “Cabik Geronong” di Sarawak yang mana golongan wanita merupakan pemangkin utama dalam penghasilannya.

“Saya di parlimen saya nak nanam cabik geronong. Sapa wanita baruk nanam cabik geronong, jumpa saya sebab saya maok Samarahan jadi pengeluar cabik geronong dan kalau boleh wanita-wanitanya jadi pemangkin utama dalam penghasilan pencapaian yang lebih baik lagi pada masa akan datang, ini yang kita harapkan.”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara “Abas Orang Kamek, Kafe Kamek” anjuran Sarawak Volunteers dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak dan Cats FM yang bersiaran secara langsung pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berharap penglibatan wanita-wanita di Sarawak dapat diteruskan tidak kira dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial demi membentuk negeri Sarawak yang lebih moden menuju ke arah negeri maju menjelang 2030.

“Kita berharap Sarawak kinektok berada dalam landasan yang betul dibawah kepimpinan Datuk Abang Jo dan GPS, InsyaAllah baik wanita ataupun lelaki, kita akan lebih terbela dan kita akan terus mencapai kecemerlangan dan membentuk negeri Sarawak yang lebih moden dalam era sampai 2030.” tambah beliau.

Turut dijemput dalam program bual bicara tersebut ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Hajah Rohani Abdul Karim.