KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.2 bilion anggaran perbelanjaan yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya PRU mengejut diadakan pada masa pasca-Covid-19 sekarang.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, jumlah itu adalah mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“SPR memaklumkan sekiranya kerajaan mengadakan pilihan raya snap (mengejut) untuk seluruh negara pada masa ini, pasca-Covid-19, dianggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di dalam Dewan Rakyat pada Rabu.

Berhubung Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang melibat 73 Dewan Undangan Negeri (Dun) beliau yakin garis panduan pasca Covid-19 yang telah ditetapkan akan dilaksanakan sebaiknya dengan pengalaman yang ada kepada pihak SPR dalam mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chini dan tidak lama lagi Dun Slim.