LIMBANG: Projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi bagi kampung-kampung yang bermula dari kampung Anak Tuno ke Kampung Paya Lakap dan Jalan Meritam merupakan projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Hj Awang Tengah bin Ali Hasan berkata, ianya tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disambung semula, tetapi tidak banyak kelewatan.

“Saya telah meminta pihak kontraktor supaya menyiapkan projek ini yang dijadualkan siap pada 8 Oktober tahun ini. Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak RM3,392,690,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout ke Tapak Projek Retikulasi Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Anak Tuno, Limbang pada Rabu.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak mahu penduduk-penduduk di kawasan ini memberikan kerjasama dalam projek ini.

“Saya berharap penduduk di sini akan memberikan kerjasama lebih-lebih lagi di kalangan kampung-kampung yang terlibat.

“Setahu saya untuk kita nak tanam paip ini adalah di atas rizab jalan raya, jadi saya tidak mahu ada masalah, kadang-kadang ada orang disebabkan kepentingan sendiri menghalang kontraktor-kontraktor untuk membuat kerja.

“Projek ini adalah untuk kita semua, untuk manfaat kita semua, jadi saya minta kita bagi kerjasama supaya projek ini akan dapat dilaksana dengan sempurna, kontraktor dan JBALB tidak hadapi masalah,” tegasnya.

Turut dijelaskan loji air bagi menampung bekalan air bagi sebahagian besar daerah Limbang ini.

“Kerajaan Sarawak juga telahpun memberikan peruntukan untuk menaik taraf meningkatkan lagi kapasiti Berawan Water Treatment Plant dan ini menelan belanja sebanyak RM33.5 juta dan projek ini dijangka siap pada 28 Oktober 2020,” jelasnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah NRDA Datu Hj Ubaidillah bin Hj Abdul Latif, Timbalan Residen Bahagian Limbang Hj Sebi bin Hj Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi bin Awang Said, Pengurus Wilayah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Tie Tung Ing, wakil Sarawak Energy Berhad (SEB) Cleren Mike Francis Ketua Kampung Anak Tuno Jude Julai Ak Tikas.