Timbalan Ketua Wanita PBB Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, Wanita PBB mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak diwujudkan sayap puteri ini.

“Bagi kami di pergerakan wanita, sebenarnya, tidak ada keperluan untuk melakukan pembahagian seperti ini yang memisahkan antara golongan veteran dan muda.

“Hal ini kerana, kami mahu semua wanita dalam PBB samaada yang veteran ataupun muda mempunyai matlamat perjuangan yang sama dalam memperkuat jentera wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan berkenaan mengapa sayap puteri tidak diwujudkan di PBB dalam program bual bicara Abas Orang Kamek- Kafe Kamek dengan tajuk Wanita dan Kepimpinan : Di Manakah Sarawak yang diadakan langsung secara atas talian Selasa lalu yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.

Menurut Rohani yang juga Penasihat di Pejabat Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Batang Lupar, pembahagian antara wanita veteran dan puteri ini nanti mungkin akan menyebabkan objektif serta matlamat perjuangan wanita menjadi tidak selari.

Tegasnya, perkara inilah yang mahu dielakkan oleh wanita PBB dan merasakan kedua-dua golongan ini perlu terus seiring dalam memperjuangkan misi serta visi parti.

Ahli-ahli veteran dalam pergerakan wanita PBB sekarang ini juga katanya, sememangnya sedang rancak melatih golongan muda yang diketahui akan menjadi pengganti untuk mereka kelak.

Malah, ujar Rohani, 40 peratus ahli Majlis Tertinggi Wanita PBB kini juga dianggotai oleh golongan muda yang menunjukkan kepercayaan serta kerjasama erat antara wanita veteran dan juga wanita muda.

Selain daripada itu juga, katanya, jumlah keahlian wanita juga tidak mencukupi untuk dipecahkan khususnya di peringkat akar umbi.

“Di peringkat ranting contohnya, jika wanita dipecahkan kepada veteran dan muda, jumlah nya amatlah sedikit dan mungkin hanya ada seorang dua wakil daripada golongan muda.

“Oleh yang demikian, kita mengekalkan sayap wanita dengan menghimpunkan ahli veteran dan muda sekaligus serta berjalan seiringan dalam memperjuangkan matlamat parti,” katanya.

Kepimpinan tertinggi parti yang diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga katanya memberi peluang kepada golongan wanita untuk lebih menyerlah.

PBB kini, jelasnya mempunyai empat orang wakil di peringkat Parlimen, lima di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua orang senator wanita di peringkat Dewan Negara.