MEXICO: Nemesio Oseguera Cervantes dikenali sebagai “El Mencho”, ketua kartel dadah di Mexico dikatakan membina klinik peribadinya sendiri bagi membolehkannya merawat semua penyakitnya.

Ia juga bertujuan mengelak diri daripada ditangkap pihak berkuasa sekiranya dia mendapat rawatan di hospital atau klinik biasa.

Ketika ini kartel Jalisco Nueva Generación Cartel (CJNG) di bawah pimpinan El Mencho, 54, merupakan organisasi jenayah paling terkenal di Mexico.

El Mencho bagaimanapun menghidap pelbagai penyakit kronik yang memerlukannya sentiasa mendapat rawatan doktor.

Penyakit buah pinggangnya sebagai contoh menyebabkannya terpaksa selalu berulang-alik ke hospital.

Berikutan itu dia mengambil keputusan membina kliniknya sendiri dan mengikut maklumat perisikan ia terletak di El Alchihuatl, yang mempunyai sekitar 200 penduduk.

Kawasan ini terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Villa Purificacion dan besar kemungkinan bakal menjadi kubu kuat CJNG.

Klinik terbabit dilengkapi peralatan perubatan terkini yang dikhususkan untuk merawat El Mencho, konco-konconya dan penduduk tempatan.

Perwatakan El Mencho amat berbeza dengan pemimpin kartel ternama lain seperti El Chapo atau Pablo Escobar yang suka menunjuk diri di khalayak ramai.

El Mencho lebih suka menyembunyikan dirinya, namun ia tidak bermakna dia tidak berbahaya.

Malah DEA menjadikan penangkapan El Mencho sebagai misi utama mereka dan sanggup memberikan ganjaran AS$10 juta (RM42 juta) kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.