KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof semalam memaklumkan akan memberikan jawapan secara bertulis kepada apa yang telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Beruas, Ahli Parlimen Arau, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Ahli Parlimen Tebrau dan Ahli Parlimen Kimanis dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

Ini kerana jelasnya, semua yang disoal adalah menyentuh kepada perkara yang tidak perlu dibahas dan tidak tertakluk dalam perbincangan Perbahasan Perbekalan Tambahan yang mana hanya memerlukan beliau untuk membentangkan mengenai peruntukan RM16 juta yang telah dibelanjakan setelah diperuntukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Ini adalah peruntukan belanjawan tambahan, dan yang diperuntukan kepada KKR hanyalah RM16 juta iaitu untuk peruntukan bangunan guna sama. Inilah yang dibahaskan yang telah pun dibelanjakan. Jadi itulah yang dimaksudkan. Kalau peruntukan bajet biasa kita boleh bahas detail semua perkara, tetapi ini bukan belanjawan biasa.” ujarnya dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang Undang (Ruu) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 bagi Kementerian Kerja Raya di Persidangan Parlimen semalam.

Tambah Dato’ Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, peruntukan ini sebenarnya adalah untuk menampung peruntukan yang tidak mencukupi disebabkan kenaikan kos.

“Mengapa tidak mencukupi, pertama, kenaikan kos. Kedua, disebabkan waktu proses tender, kontraktor hanya diberi conditional contract. Mereka kena patuhi dan sebab itulah mengambil masa tempoh perjanjian. Akhirnya dimuktamadkan agar peruntukan tambahan diperlukan sebab pada ketika itu peruntukan yang telah diberikan kepada Kementerian tidak mencukupi “jelasnya.