KUALA LUMPUR: Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim mengingatkan pihak tertentu terutama parti politik jangan terus-menerus memperlekehkan dan menghina sistem perundangan serta institusi kehakiman negara.

Dalam soal ini, beliau menegaskan tidak ada pilih kasih dalam proses keadilan dan tidak ada perbezaan antara rakyat dan mereka yang berdepan dengan dakwaan pihak berkuasa.

Beliau merujuk kepada kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa lagi atas pertuduhan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion serta satu lagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang turut membabitkan isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang.

“Parti politik dan rakyat Malaysia perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan seperti mana termaktub dalam prinsip Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan media..

“Sistem perundangan dan badan kehakiman umpama injap keselamatan yang tanpanya demokrasi tidak dapat berkembang.

“Atas landasan itu, ia harus dilindungi, integriti dan keupayaannya harus dihargai dan tindakan menghormati keputusan mahkamah harus dipertahankan,” katanya lagi.

Kata Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, jangan sewenang-wenang menghina sistem yang telah lama dilaksanakan dan Wanita UMNO Malaysia akan sentiasa menegakkan prinsip-prinsip di bawah Rukun Negara.

“Jangan kita menjadi sebagai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan. Saya selaku Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menegaskan tidak ada tempat di negara ini untuk mereka yang biadap dan tidak menghormati Rukun Negara,” katanya lagi.

Dilaporkan, Wanita Pakatan Harapan Pulau Pinang merangkap Ketua Wanita DAP Negeri, Lim Siew Khim mengecam tindakan yang dikenakan terhadap keluarga Lim Guan Eng dan dianggap satu dendam politik.

Guan Eng juga menggangap tuduhan kes rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang terhadapnya, bermotifkan politik dan tidak berasas serta mencemarkan nama baiknya sebagai Ahli Parlimen.

Sementara isterinya, Betty Chew menganggap pertuduhan ke atasnya dibuat akibat dendam hanya kerana dia isteri Lim Guan Eng.