LUNDU: Sebanyak 14 Badan bukan Kerajaan (NGO) di Daerah Lundu menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) pada fasa ketiga dan 12 orang pelajar menerima sumbangan pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Datin Patinggi Hajah Jamilah Anu, dalam majlis penyerahan geran tersebut di Lundu petang semalam berkata sebanyak RM349,000 geran MRP telah disampaikan termasuklah kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan NGO.

Katanya lagi, pihak PIBG juga akan mendapat manfaat pada fasa yang akan datang dan pelajar-pelajar yang telah berjaya untuk menempatkan diri ke IPT juga akan menerima sumbangan untuk membantu pelajar bagi penyediaan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebelum menerima bantuan atau biasiswa pendidikan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan mematuhi Prosedur Operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.