KUCHING: Bandar Simanggang, Sri Aman dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Sarawak pada 31 Ogos depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan yang bermula pada 30 dan 31 Ogos akan diadakan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.

Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Openg turut dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan itu.

Bercakap dalam satu sidang media di Kuching semalam, Datuk Abdul Karim menambah, setiap peserta yang terlibat dalam sambutan kali ini akan melalui proses saringan kesihatan termasuk proses sanitasi akan dilakukan di lokasi-lokasi sambutan.

Tambah beliau, pihak penganjur juga mengehadkan jumlah peserta iaitu 250 peserta sahaja bagi sambutan tahun ini.

Tema bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2020 ialah Malaysia Prihatin dengan membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, tiada perarakan secara besar-besaran atau konsert diadakan pada tahun ini berbanding pada sambutan tahun-tahun sebelumnya.

Malah katanya, program Unity Walk yang diadakan hanya akan melibatkan para peserta tempatan.

Turut hadir ialah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.