LAWAS: Bermula sejak 7 Januari 2019 hingga 9 Ogos 2020, sebanyak 199 buah rumah telah dan sedang dibaik pulih menerusi Projek Penambaikan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, untuk fasa ke 4 ini, sebanyak 40 buah rumah dan akan disiapkan dalam sedikit masa lagi selepas tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seperti yang saya katakan tadi sejak 7 Januari 2019 hingga 9 Ogos tahun ini, kita dijangka akan dapat menyiapkan 199 buah rumah yang menelan belanja RM1,985,528.10 dan kita akan meneruskan program ini.

“Ketua Menteri telah bersetuju untuk meneruskan program baik pulih rumah ini yang mana setiap ADUN GPS akan diberi RM1 juta setiap tahun.

Ini adalah disebabkan kerajaan PH dahulu tidak memberi peruntukan untuk program ini kalau ada pun tidak memberikan peruntukkan lagi untuk baik pulih ini, ada pun tidak banyak,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke rumah Projek Penambaikan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) DUN Bukit Sari di Kampung Bangkatan, Dewan Kampung Languban, Kampung Languban, Merapok pada Selasa.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Bukit Sari menambah, beliau telah menubuhkan satu jawatankuasa yang akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan agensi lain serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi menyenaraikan mereka yang difikirkan layak dan diberi keutamaan dalam program ini.

“Ia berjalan dengan begitu baik sekali dan rumah-rumah yang tidak sesuai untuk dibaik pulih, maka kita akan buat rumah baru asalkan mereka ada tanah.

“Memang banyak juga antara mereka yang akan dibina baru.

“Kita tahu mana yang harus diberi keutamaan dahulu dan mana yang akan dibina rumah baru,” tambahnya.

Hadir sama Dato Dayang Hajah Morliah Binti Datuk Hj Awang Daud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi bin Hj Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin bin Atok dan Pengarah NRDA Datu Hj Ubaidilah bin Hj Abdul Latip.