KUCHING: Sarawak kini berstatus hijau selepas daerah Kuching dan Serian yang sebelum ini zon kuning tidak merekodkan sebarang kes Covid-19 jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Setakat Rabu, Sarawak merekodkan 681 kes jangkitan dengan 19 kematian.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) juga melaporkan tiada kes positif Covid-19 baru direkodkan di negeri, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal 681.

“Pada hari ini, daerah Kuching dan Serian telah bertukar status daripada status kuning kepada hijau setelah kedua-dua daerah ini tidak melaporkan kes COVID-19 jangkitan tempatan dalam tempoh 14 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Ini bermakna semua daerah di Sarawak berstatus hijau,” jelas JPBNS.

Kata JBPNS  lagi,  jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak kekal 10 melibatkan 70 kes.

Kluster-Kluster tersebut ialah Kluster Syarikat Kejuruteraan (kekal lapan kes), Kluster Mambong (kekal tujuh kes), Kluster Pusat Perubatan (kekal tiga kes), Kluster Jupiter (kekal tiga), Kluster Pasar Stutong (kekal tujuh), Kluster Jeti Kuching (kekal dua kes), Kluster Sentosa (kekal 31 kes), Kluster PUI Melbourne (kekal tiga kes), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (kekal dua kes) dan Kluster Pasar Satok (kekal empat kes).

“Dimaklumkan juga tiada kes baru yang telah sembuh dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat ini kekal 659 orang atau 96.7 peratus,”katanya lagi.

Ujarnya lagi, sebanyak tiga orang masih menerima rawatan dalam wad  pengasingan hospital dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 1.79 peratus.

“Hari ini 12 kes orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan tiada kes menunggu ujian makmal,” tambah JPBNS.